Khamis, 1 Mac 2007

Nota untukmu.. yg terakhir....

Kata-katamu hanya mimpi disiang hari
Kemarau panjang,
Berpanas jua, berteduh tidak
Mahligai indah ada di syurga langit ketujuh…

Bingkisan untuk dirimu yang selamanya dihatiku........

PERPISAHAN akan lebih memuliakan hati insan. Bila berjauhan, waktu itulah kita mahu menilai erti dan makna atas setiap orang yang kita temui dan setiap perkara yang kita tempuhi. Dirimu bagi ku ialah suatu anugerah yang tidak dapat aku bandingkan dengan apa-apa pun yang ada dalam hidup ku. Namun, hidup kita bukan hanya untuk bercinta. Sekalipun kecewa, letakkan amanah dan tanggungjawab di hadapan mendahului segala-galanya. Demi kasih Allah. Dan kalaulah datang untuk kita suatu yang kita mahukan……. Itulah kehendak Allah. Sekalipun pahit, namun sebagai hambaNya mampukah kita menolak takdir yang datang? Begitu juga dengan sesuatu yang kita tidak suka, Kalau ia datang, ia juga merupakan suatu anugerah. Seikhlasnya, ada ketikanya diri ini begitu direnggut dengan kekesalan dengan perpisahan cinta kita ini. Kelemahan diriku yang tak akan kau maafkan? Namun takdirlah yang akan menentukan segalanya.

Kalaulah diri ini seperti embun, agaknya diri ini akan lebur sebelum fajar terbit. Ya Allah kiranya yang aku tanggung penuh luka ini adalah sesuatu yang sia-sia disisiMu, lenyapkanlah, padamkanlah….. namun kiranya rasa kasihku ini adalah dalam redhaMu, mekarkanlah selalu meskipun diri ini harus bertarung antara bahagia dan derita. Mungkin diri ini lemah daripada setitis embun… tiada kekuatan menghadapi malam yang gelap sepi dan dingin, malam yang tanpa kehadiran bulan dan bintang…. tiada kekuatan untuk menanti meskipun ada KESETIAAN di hati.

Dan perasaan itu sama ada bahagia atau cinta, derita atau kecewa, kalaulah boleh diambil dan dicampak sekehendak hati ini… maka pastinya tiadalah yang bernama derita. Tiadalah istilah sengsara. Cinta derita, bahagia dan kecewa ini sesungguhnya ialah anugerah yang mencorakkan insan seperti pelangi.

Malah aku percaya, tiada suatu kenikmatan kecuali mesti disertai dengan sesuatu yang tak menyenangkan. Tak ada kebahagiaan, kecuali mesti disertai oleh sesuatu yang menyusahkan. Tak ada kelapangan, kecuali mesti disertai kesempitan. Kalau diri ini terpaksa menderita untuk menahan diri daripada melakukan apa yang Dia tak suka, biarlah diri ini menderita kerana pengorbanan itu biarpun pahit, tapi janji Allah tetap pasti bahawa akan ada manisnya dalam pengorbanan itu. Kita hanya kan sedar kemanisan itu setelah berjaya melalui detik-detik yang sukar. Kenyataan tidak akan jadi semudah apa yang diinginkan. Disinilah letaknya nilai kehidupan.

Tidak pula Allah menimpakan ujian untuk menzalimi hambaNya. Melainkan untuk mendidik dan menyedarkan bahawa tidak ada satu pun di dunia ini adalah milik manusia yang abadi meskipun sesuatu itu TERAMAT KITA SAYANGI. TERAMAT KITA KASIHI. Datang dan pergi segala yang ada di dunia ini adalah dengan kehendakNya. Redhalah hati sepenuhnya.
Redha kah aku menghadapi perpisahan ini? Redhakah aku menghadapi detik-detik kehilangan insan yang aku kasihi dan cintai?

Bukanlah kudrat hamba melawan takdirNYa. Luka di hati memang
Tidak terucap. Tidak tergambar. Tidak terluah hanya dengan kata-kata. Mata yang memandang, tidak sama dengan hati yang menahan tangisan perpisahan. Meskipun ibarat telah mati, malangnya jasad masih bernyawa, nadi masih berdenyut, darah masih merah mengalir. Lalu luka itu biarlah aku yang merasainya. Meskipun begitu hebat dugaan perpisahan ini, kehidupan mesti diteruskan. Dinekadkan hati dengan keyakinan bahawa Allah lebih tahu segala yang terbaik.

Dan sememangnya sudah lumrah alam, yang melukakan jauh lebih menderita daripada yang dilukai, kerana yang dilukai akan dirawat oleh Tuhan manakala yang melukai akan terus merasakan beban siksa perpisahan. PERTEMUAN itukah yang aku impikan? Pertemuan itukah yang aku idamkan? Sesungguhnya… setiap pertemuan itu membibitkan kuntuman kemesraan, membuahkan sejuta kenangan dan meluruhkan serpihan-serpihan kedukaan.


Sesungguhnya tiada kekuatan untuk mengubah apa pun yang telah terjadi. Tidak dapat menarik segala perkataan yang telah terucap. Tidak juga mampu menghapus kesalahan dan mengulangi detik-detik kegembiraan saat cinta mekar dihati kita. Bisakah biarkan ianya hanya berlalu, lepaskan saja? Yang tersisa kini, diri ini masih berdiri kukuh bertemankan kenangan cinta semalam. Segala pintu masa lalu telah tertutup. Semua lorong serasa sunyi seolah tiada pernah berpenghuni…. pintu masa depan belum tiba. Terlalu sukar untuk memaafkan kesilapan hari kelmarin dan ketakutan untuk menempuh hari esok, kerana yang ada hanyalah hari ini… esok lusa belum tentu abadi.

“Ampunkan aku ya Allah, ya Hannan, ya Mannan! Berikanlah aku kekuatan dan hidayah untuk mengharungi semua ini. Apalah ertinya aku hidup untuk mengasihi makhlukMu melebihi daripada aku mencintaiMu. Peliharalah diriku daripada terjerumus ke lembah itu, lembah yang menjauhkan kita, yang menjarakkan diriku daripada diriMu. Kerana bukan senang untuk memupuk cinta kepadaMu. Bukan mudah untuk meletakkan cintaMu dihatiku yang lemah lagi tak berdaya ini. Maka sekali ketakutan ini datang, lindungilah aku ya Allah. Lindungilah hambaMu yang tidak berdaya ini….”

Sesuatu yang dapat kita pelajari daripada sebuah percintaan yang berlandaskan sekeping hati suci ini ialah, cuba memurnikan hati dengan menerima kesilapan orang lain sebagai pengajaran dimasa akan datang… bukan sebagai hukuman.

CINTA yang hanya wujud tetapi tidak mungkin bersatu jasad. Cinta lama yang kembali bergema dihati ini. Gembirakah hati ini bila mengenang sesuatu yang telah pergi dari hati ini!...

KERANA cinta itu bukanlah sesuatu yang kita pinta. Semuanya lahir dengan kehendakNya Yang Maha Esa. Kehendak yang hanya datang dan pergi dengan izin daripadaNya.


Dirimu yang kurindui.......
Jagalah diri baik-baik. Hanya yang dapat aku katakan, ….”kalau setiap saat diri mu ingatkan Allah dan setiap saat itu juga diri ini teringatkan Allah… bermakna waktu itu kita telah menjadi satu kerana mencintaiNya Yang Satu. Di situlah selayaknya hati kita bertemu!”

1 ulasan:

  1. kata-kata ini amat menyentuh hati sesiapa yg membacanya,..terutama kata2 akhir...hrp awk tabah..

    BalasPadam